Sunday, 10 May 2015

Sultan Nazrin memiliki 30,000 koleksi buku

Sultan Nazrin Shah memberikan gaya bersahaja ketika ditemui di Galeri Tuanku.


Memiliki ketinggian budi pekerti, berilmu pengetahuan dan sentiasa melahirkan buah fikiran bernas dalam setiap titah perintah, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sentiasa meletakkan ilmu dan buku sebagai harta yang amat bernilai dalam kehidupan bagin­da.
“Ilmu itu sangat luas dan akan sentiasa ada yang baharu, hanya dengan mencintai ilmu dan buku memboleh­kan kita mengejar perkembangan du­nia, ma­lah dengan membaca menjadikan kita bertambah pengetahuan seterus­nya mampu membentuk etika diri yang hebat,” titah ba­ginda.
Sultan Nazrin Shah bertitah demi­ki­an pada pertemuan santai bersama pembe­rita di sebuah perpustakaan pe­ri­badi milik baginda di Petaling Jaya baru-baru ini.
Perpustakaan peribadi yang menyim­pan kira-kira 30,000 koleksi buku itu adalah hasil ilham baginda sendiri. Ia menjadi lokasi kegemaran baginda meluangkan masa lapang.
Kecintaan baginda terhadap buku adalah nilai yang perlu ditanam da­lam jiwa seseorang sejak ke­cil. “Setiap kali keluar, per­kara pertama yang beta cari ialah kedai buku, beta pernah membeli buku se­hingga penuh sebuah troli, malah beta mampu habiskan masa membaca se­panjang hari dari pagi hingga malam.

Sultan Nazrin berkenan menunjukkan gambar baginda ketika zaman persekolahan di Galeri Tuanku baru-baru ini.


“Anak-anak juga menunjukkan minat yang sama, setiap malam sebelum tidur beta meluangkan masa membacakan buku kepada mereka, jika ada urusan di luar beta tetap cuba berangkat pa­da waktunya dan luangkan masa membaca bersama,” titah baginda.
Perpustakaan
Baginda bertitah, membaca dan me­ngumpul buku telah sebati dalam jiwa baginda sejak kecil. Ia merupakan faktor yang mendorong Sultan Nazrin me­realisasikan sebuah perpustakaan bagi menempatkan koleksi bacaan baginda.
“Disebabkan buku beta terlalu ba­nyak ia selalu bersepah di merata-rata tempat, apabila beta perlukan sukar untuk dicari. Beta kata kepada arkitek, beta bukan ma­hukan perpustakaan da­lam rumah tetapi rumah dalam per­pusta­kaan,” titah ba­ginda.
Perpustakaan peribadi Sultan Nazrin yang berkonsep moden kontempo­rari itu memuatkan koleksi buku pel­bagai genre. Antara bahan bacaan kege­maran baginda ialah buku ekonomi, falsafah, sejarah dan politik.

Membaca dan mengumpul buku telah sebati dalam jiwa baginda sejak kecil.


Baginda bertitah, walaupun teknologi moden berkembang pesat dengan buku boleh dibaca atas skrin, buku mempunyai nilai tersendiri dan pilihan terbaik untuk diberi sebagai hadiah.
“Mungkin beta old fashion, pada beta buku lebih mesra, boleh dipegang, boleh dibelek setiap helaian, boleh ditulis nota pada permukaannya, zaman sekarang ra­mai berminat membaca atas skrin. “Buku adalah hadiah terbaik dan apabila beta merasakan sesebuah buku itu bagus kandungan­nya beta akan membelinya untuk dihadiahkan kepada orang lain,” titah baginda.
Sultan Nazrin bertitah, rakyat perlu sedar peranan sebuah buku dan kepen­ti­ngan ilmu pengetahuan supaya minat membaca itu sentiasa subur.
“Berusahalah mendisiplinkan diri un­tuk membaca beberapa jam setiap hari, lakukannya secara konsisten, pupuklah minat terhadap ilmu dengan cara yang menyeronokkan, gunakanlah apa sahaja medium bersesuaian asal­kan tidak berhenti mencari ilmu,” titah baginda.
Antara kegemaran lain Sultan Nazrin ialah mengumpul manuskrip lama, lukisan daripada pelukis tempatan serta menulis, baginda juga berhasrat membuka sebuah galeri foto peribadi di Kuala Kangsar atau di Ipoh, Perak. – ERNAMA

No comments:

Post a Comment