Kini, dia diamanahkan untuk meneruskan usaha Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyantuni para warga emas fakir miskin di Selangor. Kali ini, mari saya bawakan para pembaca setia Jejak Asnaf ke Pusat Jagaan Warga Emas Zakat Selangor, di Jalan Kebun, Klang dan melihat apakah cerita di sana.

Ditubuhkan sejak 2013, pusat ini adalah kesinambungan dari Rumah Warga Emas Darul Salamah, Tanjung Karang yang sebelum ini menempatkan kalangan warga emas berstatus fakir dan miskin di bawah tanggungan LZS.
Seiring dengan keperluan, maka LZS ambil inisiatif mewujudkan sebuah pusat jagaan yang lebih baik, teratur, berkesan dan mempunyai prasarana yang lebih sempurna kepada penghuninya. Akhirnya lahirlah pusat baharu ini.
Kini di bawah seliaan wanita yang sangat berpengalaman dalam dunia penjagaan warga emas, iaitu Siti Arbi, pusat jagaan ini telah mendapat sentuhan terbaik daripada pakar.

“Saya dahulu bekerja di hospital kerajaan sehinggalah akhirnya bersara di Hospital Kuala Lumpur, dan kemudiannya ditawarkan menjadi pensyarah di Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Jalan Raja Muda Abdul Aziz, Kuala Lumpur. Kepakaran saya adalah dalam bidang geriatrik atau penjagaan warga emas. Kini di pusat ini, saya dapat meneruskan minat saya untuk terus berbakti kepada mereka yang memerlukan,” ujarnya.
Siti Arbi bukanlah calang-calang orang, justeru, di dadanya sarat ilmu, kemahiran dan pengalaman.
“Saya dahulu mendapat pendidikan awal dalam aliran sains di Kolej Tunku Kurshiah dan kemudiannya melanjutkan pendidikan di London School of Occupational Therapy, selama tiga tahun. Selepas itu, saya pulang ke tanah air dan bekerja di hospital kerajaan sehingga pencen. Namun, sebelum itu saya masih sempat menyiapkan pengajian lanjutan, antaranya Diploma Pengurusan di Malaysian Institute of Management (MIM) dan Sarjana Pengurusan Perniagaan dari Universiti of Ohio yang menjalankan kerjasama dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM).”
KPI akhirat
Wanita cekal ini juga pernah melanjutkan pendidikan tertinggi di peringkat Doktor Falsafah, tetapi terpaksa melupakan hasratnya apabila suaminya disahkan menghidap kanser yang memerlukan penjagaan teliti dan rapi.
“Saya masih ingat, saat pertama kali dipelawa berkhidmat di LZS, saya fikirkan hanya menjadi penasihat, tetapi saya telah dipelawa untuk mengendalikan operasinya. Namun, apabila direnung kembali, pasti ada hikmah di sebaliknya, maka saya anggap ini adalah satu cabaran, KPI akhirat buat saya sendiri,” ujar wanita tabah ini.

Lalu, bermula 2013 Siti Arbi meninggalkan dunia pendidikan dan menyarung jersi LZS. Dia mempunyai impian yang sangat jelas, mahu menumpahkan segala ilmu, kemahiran dan pengalaman berharga di sini pula.
“Sebenarnya, pekerjaan saya terus berkesinambungan. Dahulu di hospital saya memang menjaga pesakit, sehinggalah ke UKM, saya memang diminta menyediakan kursus mengenai penjagaan warga emas.
Maka, apabila dipilih untuk berada di sini, ia sesuatu yang sangat baik. Saya tidak pandang pada imbuhan gaji, tetapi apa yang Allah SWT sudah sediakan buat saya jauh lebih besar.

“Alhamdulillah, kerana terpilih berada di jalan ini dan ia lebih mendekatkan saya dengan Allah SWT,” ujarnya.
Menyentuh lebih dalam tentang peranannya di pusat itu, akuinya, yang dia terpanggil untuk mengatur sendiri kehidupan para warga emas yang terabai. Hakikatnya, di sinilah dia menemui sendiri kalangan insan tua yang diabaikan keluarga.
“Ada yang diabaikan oleh anak-anak, sehingga ada yang langsung tidak pernah datang menjenguk orang tua mereka. Ada juga kes, dia orang terpelajar tetapi dibiarkan terlantar oleh warisnya. Hakikatnya, kalangan warga emas ini bukan sekadar sakit fizikal, namun mereka memerlukan sesuatu yang lebih hebat, iaitu kasih sayang,” tambah Siti Arbi penuh makna.
Lalu, demi memberi khidmat santunan yang terbaik, Siti Arbi memastikan para pengasuhnya adalah daripada kalangan mereka yang berpendidikan dan juga mempunyai penampilan menarik dan muda. Dia yakin, aura dan tenaga positif yang dibawa akan tertular kepada para penghuninya tanpa sedar dan mampu menghasilkan keadaan yang lebih ceria.

Seimbang rohani, fizikal
REALITINYA mereka yang menjadi penghuni Pusat Jagaan Warga Emas Zakat Selangor, rata-ratanya menghidap pelbagai jenis penyakit bawaan usia seperti jantung, nyanyuk, hipertensi, diabetes dan asma.
Daripada aspek usia, kelayakan mendiami pusat itu hanya kepada yang berumur 60 tahun dan ke atas.
Di sini juga, kehidupan para penghuninya dijadualkan agar aktiviti mereka diisi dengan perkara yang seimbang, antara keperluan rohani dan fizikal, sesuai dengan tahap umur.

“Seawal pukul lima pagi mereka sudah bangun dan bersiap untuk mendirikan solat Subuh berjemaah. Selepas itu, ada pengisian sebelum bersarapan. Pemantauan kesihatan iaitu terapi fizikal akan dilakukan pada setiap pagi.
“Waktu makan pun telah disediakan. LZS juga menyediakan kelas agama kepada mereka, seperti kelas fardu ain, tahsin ibadah, pengajian al-Quran dan tafsir. Para penghuni ini amat menggemari kelas agama ini,” tokok Siti Arbi.
Selepas itu, Siti Arbi mengajak saya mengunjungi para penghuni warga emas yang ketika itu sedang bersantai di bilik aktiviti. Di sana, mereka bermain permainan dalaman dan ada leka menyiapkan kraftangan, seperti sulaman permaidani dan perhiasan dinding.

Demikianlah secebis coretan mengenai perjalanan Pusat Jagaan Warga Emas Zakat Selangor, sebuah pusat yang diwujudkan oleh LZS demi menyantuni kalangan warga emas yang sebelum ini sering kedengaran terlantar dan dirawat oleh pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) yang ada di antaranya, diuruskan oleh mereka yang bukan seakidah dengan kita. Ini adalah satu usaha fardu kifayah, kerana menyantuni warga emas adalah tuntutan Allah SWT. Wallahua’lam.
Nota: Warga emas yang mahu dimasukkan ke pusat ini mestilah memiliki kriteria berikut, iaitu Islam, rakyat atau penduduk Selangor, fakir atau miskin, berusia 60 tahun ke atas dan terlantar atau tiada penjaga. Jika berminat, boleh berhubung dengan LZS di talian bebas tol 1-800-88-5353 atau langsung ke pejabat Pusat Jagaan Warga Emas Zakat Selangor 03-5161 0533.