Thursday, 11 April 2013

Legasi pemikir hebat

Al- fatihah
UTUSAN ONLINE


Balu Datuk Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady, Mariam Hussain, menyiram air mawar di pusara Dr. Muhammad Uthman di Tanah Perkuburan Islam UIA Gombak, baru-baru ini.
Membawa perwatakan tenang dengan sikap bersahaja serta merendah diri, namanya sudah tidak asing lagi bagi pencinta ilmu dan gerakan dakwah Islamiah tanah air.
Dilihat sering berjubah dan berserban pada kebanyakan masa, sesiapa yang tidak mengenali beliau pasti tidak menyangka individu berjanggut keperangan itu bergelar Datuk dan merupakan antara pakar rujuk ilmu Islam negara.
Beliau yang lebih selesa dengan gelaran ustaz, memilih tidak terlalu mengejar kemewahan dan populariti dunia. Itulah bekas tokoh besar cendekiawan Islam, .
Sumbangan anak kelahiran negeri Kelantan itu bukan sahaja pakar dalam dunia intelektual Islam dengan menghasilkan ratusan penulisan, malah tidak keterlaluan untuk disifatkan beliau sebagai seorang sufi.
Dekan Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (Istac), Profesor Emeritus Ismawi Zen ketika ditemui berkata, mempraktikkan amalan kesederhanaan dan bersikap tidak mengejar kemewahan dunia, Muhammad Uthman menunjukkan contoh sikap ulama yang sukar ditemui kini.
"Inilah contoh kehidupan seorang sufi yang ada. Seorang yang mempraktikkan amalan sufi secara jelas dengan menunjukkan sikap sederhana kepada orang yang melihat dan tidak mengejar dunia dalam hidupnya.
"Secara peribadi, walaupun membawa perwatakan zuhud, Allahyarham seorang yang sangat tenang dan mudah didekati. Beliau mudah diterima oleh sesiapa sahaja yang ingin mendekatinya.
"Ketinggian akhlaknya, maka beliau telah diambil bertugas di Istac pada 2003 sebagai felo akademik. Ini kerana kita yakin dia boleh mendidik pelajar untuk mengamalkan Islam yang sebenar secara mendalam bukan sahaja secara teori di dalam kelas, malah dengan praktikal.
"Tugas yang diamanahkan dilakukan dengan baik. Beliau berjaya membentuk pelajar yang berakhlak baik, sekali gus untuk menjadi seorang ilmuwan sebenar," jelasnya.
Ensiklopedia
Ismawi turut menyifatkan Allahyarham seperti ensiklopedia bergerak.
Ini berikutan penguasaan ilmu pengetahuan yang dimiliki oleh bekas tokoh ilmuwan negara itu sangat mendalam meliputi semua bidang.
"Pertama kali melihat Allahyarham, saya menganggap dia seorang yang konservatif. Dengan pakaiannya yang berjubah dan berserban, ditambah pula dengan janggutnya yang keperangan.
"Namun, apabila beliau bercakap, terkejut saya dan sangat kagum dengan setiap hujahnya yang diselitkan dengan hukum hakam dan prinsip Islam. Ia menunjukkan ilmu dia sangat mendalam," katanya.
Ismawi mengimbau pertama kali mengenali dan berjumpa Muhammad Uthman ketika seminar perancangan bandar dari perspektif Islam di Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada 1994.
Muhammad Uthman yang ketika itu sebagai pendakwah bebas dijemput sebagai salah seorang pembentang kertas kerja mengenai pembentukan masyarakat dan juga perbandaran menurut perspektif Islam.
"Kita ingat ahli perancangan bandar saja yang tahu mengenai perkara-perkara ini. Lagipun, kita baru sahaja ingin mula membincangkan mengenai perancangan perbandaran ini sedangkan dia dah tahu banyak.
"Dengan mudah dia boleh kupas isu itu. Saya sendiri ahli perancang bandar pada masa itu pun tidak terfikir sebagaimana yang diketengahkan," jelasnya.
Terkenal dengan ilmu mendalam mengenai Syiah dan Wahabi, beliau boleh berbincang dan berhujah mengenai isu ini secara ilmiah dan berhikmah.
"Arwah seorang yang sangat banyak membaca. Boleh dikatakan, ilmu yang diperoleh daripada bacaan dan kajiannya sendiri mampu menyaingi orang yang mempunyai Ijazah Kedoktoran (PhD).
"Beliau turut dijadikan rujukan mengenai dua isu yang sedang hangat diperkatakan di negara ini. Diselitkan dengan bukti dan fakta bersandarkan al-Quran, hadis serta sepakat ulama, pasti dapat mematahkan hujah pegangan dua golongan ini dengan mudah," ujarnya.
Diceritakan, beliau pernah berbasikal dari rumahnya di Kota Bharu ke Kuala Lumpur semata-mata untuk mencari buku yang diminati beliau bagi membuat kajian tersendiri.
Lebih mengkagumkan, Allahyarham yang pada ketika itu masih di sekolah menengah, tidak mempunyai kelengkapan mencukupi untuk mengembara.
Sehingga saat menghembuskan nafas yang terakhir, Muhammad Uthman ditemani dengan teman baiknya iaitu buku.
Tambahnya, pemergian Allahyarham sukar untuk dicari ganti dan merupakan satu kehilangan besar kepada negara.
"Di UIAM, kami terasa kelopongan atas pemergiannya, mungkin juga ia satu kehilangan buat negara. Kerana, untuk mencari pengajar tidak menjadi masalah, tetapi mencari seorang murabbi (pendidik) adalah sesuatu yang amat susah," katanya.
Keunikan
Walaupun berpengetahuan luas dan mempunyai kedudukan dalam masyarakat namun Allahyarham dilihat mengekalkan keunikan yang bersifat lain daripada yang lain.
Perkara ini diakui oleh anaknya, Ahmad El-Muhammady ketika ditemui di Istac, UIAM, Jalan Duta baru-baru ini.
Tidak seperti kebanyakan orang masa kini, anak ke sembilan daripada 12 adik beradik itu berkata, arwah ayahnya seorang yang jarang sekali menggunakan telefon bimbit, menonton televisyen dan bergerak ke sesuatu destinasi menaiki kenderaan sendiri.
"Antara sifat ayah ialah, arwah seorang yang tidak suka menonton televisyen. Kerana menurutnya sepatutnya kita menerangi rumah dengan lampu untuk membaca kitab bukan cerah menonton televisyen.
"Arwah juga tidak mempunyai telefon bimbit sehingga kami berikan. Itupun tidak digunakan sepenuhnya. Jika digunakan pun hanya untuk menghubungi kami anak-anak dan selain itu diletakkan begitu sahaja.
"Selain itu, ayah lebih suka bergerak ke sesuatu tempat dengan hanya menaiki teksi. Bukan itu sahaja, beliau pernah pulang ke rumah dengan menumpang orang yang baru dikenali dengan menaiki motosikal.
"Walaupun pernah kami nasihat kerana bimbangkan keselamatannya, namun tidak diendahkan. Kadang-kadang kami suarakan, ayah itu berstatus datuk, mengapa masih naik teksi," katanya yang mempunyai sedikit perselisihan pendapat terhadap sikap zuhud ayahnya.
Tambah Ahmad, biarpun sibuk dengan tugasan kerja dan menyampaikan dakwah, Allahyarham tidak pernah mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang ayah.
"Tidak dinafikan Allahyarham sangat sibuk dengan tugasan-tugasan. Namun kami faham kerana ayah bukan sahaja milik keluarga, tetapi milik masyarakat dan negara," kata Ahmad yang kini meniru jejak langkah bapanya sebagai pensyarah Sains Politik dan Pengajian Islam di Jabatan Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan di UIAM.
Allahyarham meninggalkan isteri Mariam Hussain, 65, dan 11 orang anak serta lebih 40 orang cucu.


1 comment: