Saturday, 19 January 2013

Risau belum dapat kerja

Dari Harian Metro


SAYA graduan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang baru menamatkan pengajian dengan keputusan agak baik. Saya anak yang menjadi harapan keluarga kerana seorang saja yang berjaya masuk ke universiti.
Untuk pengetahuan ,saya sudah hampir enam bulan menganggur. Sebelum menamatkan pengajian, saya pernah mencari kerja tapi yang biasa saja seperti kerja kilang, di kedai kasut dan butik. Saya bekerja tidak lama, sekadar ingin menimba pengalaman dan belajar untuk berinteraksi dengan orang ramai. 
Sejak beberapa hari ini, saya sering mendapat mesej daripada teman belajar dulu yang sering bertanya perkembangan diri. Ini menyebabkan kadang-kadang saya segan sebab masih menganggur. Tambahan lagi, saya lihat ada antara rakan yang sudah mendapat pekerjaan bagus. Segelintir daripada mereka memperolehnya menggunakan orang dalam dan ada yang bernasib baik menyambung kontrak dengan tempat praktikal dulu. 

Saya pernah menghadiri temu duga tetapi komunikasi saya dalam bahasa Inggeris tidaklah hebat . Namun saya cuba sebaiknya, malah cuba memperbaikinya sendiri. Untuk pengetahuan Dr juga, ibu bapa saya tidak mempunyai kelulusan tinggi setakat darjah enam dan Sijil Rendah Pelajaran (SRP).

Kadang-kadang jika saya ingin meluahkan masalah, mereka tidak akan faham terutama bapa saya. Bapa sering mempertikaikan kebolehan saya, malah meluahkan rasa kesal kerana menghantar saya ke universiti, lebih-lebih lagi apabila dia melihat saya sukar mendapat kerja berbanding abang yang berkelulusan rendah. Emak pula sering membandingkan saya dengan anak jiran dan sepupu, malah sering mengeluh kerana merasakan saya mengambil kursus yang salah.

Saudara-mara juga sering berkata hal yang sama malah pernah seorang ibu saudara mengatakan saya ini hanya menghabiskan beras semata-mata kerana duduk di rumah saja. 

Pada mulanya memang saya pekakkan telinga tetapi lama kelamaan agak berkecil hati dengan mereka. Pernah juga saya menghadiri program kerjaya, kononnya memberi beribu-ribu peluang pekerjaan tetapi tiada balasan positif. Saya cuba juga menghantar resume di kilang berdekatan rumah namun tiada juga apa-apa perkembangan. 

Saya selalu terfikir apa salah saya. Saya tahu rezeki memang ada sama ada lambat atau cepat namun disebabkan hal ini saya jadi putus asa dan bingung. Keyakinan diri juga semakin berkurangan. Jujurnya saya risau dengan masa depan saya. 

MASIH MENCARI, 
Johor
 



DOKTOR simpati dengan masalah adik. Nilai kerjaya dalam hidup adalah tinggi. Ahli perkembangan kerjaya menjelaskan manusia bekerja untuk memperoleh nilai ekonomi iaitu sebagai satu cara untuk mendapatkan wang. Selain itu, pekerjaan juga mempunyai fungsi lain seperti menghubungkan individu dengan masyarakat. 

Pekerjaan menyediakan individu serta keluarga akan status, penghargaan dan juga elemen psikologi dan sosiologi. Ia menghubungkan individu dengan masyarakat yang kompleks. 

Pekerjaan menyumbang kepada elemen psikologi individu. Justeru, apabila adik tidak mempunyai pekerjaan, adik menjadi putus asa, bingung serta mempunyai keyakinan diri yang berkurangan. Secara psikologinya, perasaan adik adalah reaksi normal tapi perlu dirawat. 

Sikap bapa, keluarga dan saudara-mara terhadap adik disebabkan harapan mereka yang tidak dipenuhi. Memperlekehkan dan membuat perbandingan berlaku kerana mereka mengharapkan adik memperoleh pekerjaan selesa sebaik tamat pengajian. 

Reaksi sebegini walaupun melukakan hati tapi berlaku kerana adik masih belum memenuhi tuntutan mereka iaitu memperoleh pekerjaan selesa. 

Masalah sukar mendapat pekerjaan juga dihadapi ramai lepasan universiti ketika ini. Setiap tahun, ramai graduan dilahirkan institusi pendidikan tempatan ataupun luar negara. Beberapa tahun kebelakangan ini, dikatakan graduan muda sukar mendapat pekerjaan. 

Beberapa pandangan timbul mengenai isu ini. Antaranya, pandangan yang menjelaskan ramai lepasan universiti tidak mempunyai beberapa kemahiran termasuk komunikasi, penampilan diri serta penulisan resume. 

Pihak graduan pula melihat majikan terlalu memilih. Majikan mahukan pekerja berpengalaman tetapi gaji yang murah berbanding sepatutnya. Pandangan ini menjelaskan majikan tidak mahu mengeluarkan kos untuk memberi kursus atau latihan pekerjaan kepada graduan baru. 

Seterusnya, ada graduan yang melihat terdapat institusi pendidikan kurang memberikan pendedahan dunia pekerjaan sebenar. Misalnya memberikan peluang latihan industri kepada bakal graduan mereka. 

Apapun pandangan, pihak terbabit seperti kerajaan, swasta, persatuan yang mewakili majikan dan pencari kerja perlu berbincang untuk mencari jalan mengatasi masalah pengangguran di kalangan graduan. 

Antara cadangan diberikan ialah institusi pendidikan memainkan peranan membantu graduan mendapatkan pekerjaan. Institusi pendidikan boleh memberikan pendedahan dunia pekerjaan sebenar melalui latihan Industri dan kemahiran berkomunikasi. 

Majikan pula boleh memberi peluang kepada graduan baru untuk menimba pengalaman dengan memberikan latihan dan kursus bersesuaian dengan kerja diberikan. 

Usaha yang berterusan daripada adik untuk mendapatkan pekerjaan amat diperlukan. Pekerjaan perlu dicari dan bukan ditunggu. 

Seorang Muslim adalah seorang yang tidak mengenal erti putus asa dan sentiasa berusaha bersungguh-sungguh dalam apa jua perkara (lihat surah al-Zumar: ayat 39). 

Usaha daripada adik termasuk menghadiri karnival kerjaya, meningkatkan kemahiran berbahasa Inggeris, berkomunikasi, penampilan diri dan penulisan resume. 

Berfikir positif bahawa segala teguran bapa serta keluarga adalah pembakar semangat untuk terus berusaha mencari pekerjaan dapat meningkatkan keyakinan diri.

No comments:

Post a Comment